Pemuda PH Negeri Sembilan cabar PN namakan segera calon MB

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk segera mengumumkan calon Menteri Besar dari blok pembangkang itu.

Ketua Pemudanya, Mohd Hanis Alimin berkata, langkah tersebut adalah kurang bijak berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tidak memberi keputusan memberangsangkan kepada PN.

“Walaupun ‘gelombang hijau’ itu berlaku pada PRU15 namun Negeri Sembilan tidak terkesan dengan tsunami tersebut.

“Buktinya, Pengerusi PN negeri sendiri kecundang teruk di Parlimen Kuala Pilah.

“Mereka bahkan gagal untuk mendapatkan walau satu pun kerusi Parlimen, katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Hanis Alimin

Hanis berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahiaddin kelmarin bahawa Bersatu akan melantik Menteri Besar dalam kalangan pemimpin parti itu di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Selangor jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan berjaya membentuk kerajaan.

Dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Bersatu itu, Mahiaddin berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi PN.

Mengulas lanjut, Hanis yang juga Ketua Pemuda AMANAH berkata, kegagalan PN untuk memperoleh kerusi Parlimen adalah bukti rakyat Negeri Beradat itu menolak gabungan parti tersebut.

“Punca kegagalan PN pada PRU15 ialah kerana mereka tidak mempunyai tokoh yang boleh diterima oleh pengundi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Bukan itu sahaja, gabungan Pas dan Bersatu tidak pernah memberi jasa kepada rakyat negeri ini dan wajar mereka (PN) ditolak,” tegasnya lagi.

Lim Chun Weng

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PH negeri merangkap Ketua Pemuda DAP, Lim Chun Weng berkata, pihaknya komited untuk terus mempertahankan kerajaan negeri melalui khidmat dan program yang berkesan.

“PH tidak akan mengambil mudah. Kami akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan kerajaan PH Negeri Sembilan dan DAP akan memastikan 11 kerusi DUN kekal di bawah PH,” katanya lagi.

BACA JUGA Ini cerita daerah paling bahagia di Negeri Sembilan