MB untuk Negeri Sembilan: Bersatu sudah tiada lagi tenaga

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan melantik Menteri Besar dalam kalangan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Negeri Sembilan dan Selangor, dianggap hanya sebagai ‘penyuntik’ semangat kepada parti tersebut.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman bagaimanapun menyifatkan, kekuatan parti Bersatu daripada segi tenaga sebenarnya sudah tiada lagi.

“Dia (Mahiaddin) buat kenyataan itu untuk mendapatkan hala tuju (konvensyen tempoh hari) kononnya ada harapan di depan, iaitu mereka akan ambil alih Selangor dan Negeri Sembilan. Kedah, Kelantan dan Terengganu pula sudah diambil oleh Pas.

“Tetapi bagi saya, sebenarnya kekuatan parti Bersatu itu sudah tidak ada lagi daripada segi tenaganya.

“Sekarang ini (kekuatan) ada pada Pas. Pas di Negeri Sembilan dan Selangor masih kuat dan bertenaga.

“Jadi, untuk menaikkan semangat parti, dia (Muhyiddin) mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Pada saya, dia cuma nak naikkan semangat, kalau tidak, konvensyen itu kosong. Tak ada apa-apa janji atau hala tuju,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Mahiaddin bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan dan Selangor daripada Bersatu jika Perikatan Nasional (PN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Mahiaddin yang juga Pengerusi PN berkata, menerusi rundingan dengan komponen, Pas kekal menerajui Kedah, Kelantan, dan Terengganu, manakala Ketua Menteri Pulau Pinang ditentukan kelak, bergantung parti mana memenangi banyak kerusi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian semasa sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM, Cheras, 12 Mac lalu.

BACA JUGA AMANAH Negeri Sembilan terbuka terima agihan kerusi PRN