PH beri bayangan agihan kerusi PRN Negeri Sembilan selesai sebulan, dua lagi

Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka selesai dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi PH negeri berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan BN bagi berbincang mengenai PRN di negeri Adat Perpatih itu.

“Sekarang kita dengan BN. Alhamdulillah, dalam perjumpaan itu, pada dasarnya kita bersetuju dan akan bersama.

“InsyaAllah, dalam jangka masa sebulan atau dua bulan ini, kita akan menyelesaikan isu pembahagian kerusi yang ditandingi.

“Selepas itu, terpulanglah kepada parti untuk menentukan calon masing-masing.

“Tidak ada masalah dan tiada isu besar di peringkat bawahan dan saya rasa semangat itulah yang perlu ada,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan itu juga yakin BN dan PH mempunyai cara kebersamaan untuk saling menghormati antara satu sama lain.

“Bagi saya, paling penting adalah keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti,” ujarnya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengulas demikian apabila ditanya pemberita mengenai perkembangan terbaharu melibatkan PH, BN menjelang PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sidang media tersebut turut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi Aminuddin.

Terdahulu, Aminuddin dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu, berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: PH wajib pertahankan kemenangan 20 kerusi