“Saya tidak pernah hubungi Ka Siong, nombor telefon pun tak ada” – Deepak

Seorang ahli perniagaan Deepak Jaikishan menafikan beliau pernah menghubungi Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk menyelesaikan mengenai perihal telur dari India.

Beliau juga menyatakan tidak pernah mendapatkan nombor telefon bekas Menteri Pengangkutan itu.

“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen hari ini 15 Mac yang mendakwa bahawa saya telah menghubunginya untuk menyelesaikan perkara berkaitan telur dari India.

“Saya dengan ini sekali lagi menyatakan bahawa tidak pernah menghubungi beliau (Ka Siong) atau mempunyai nombor telefonnya.

“Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam saya,” kata Deepak dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Ka Siong ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini mendakwa menerima ugutan berkaitan kenyataannya di Parlimen membabitkan isu import bekalan telur dari India.

Beliau mendakwa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech pagi semalam.

Ka Siong berkata pemanggil lelaki itu mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk beliau memperbetulkan kenyataan dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

BACA LAGI: Ka Siong enggan betulkan ucapannya berkaitan isu telur import di Parlimen