Exco Terengganu dikenakan waran tangkap, gagal hadir mahkamah

Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri ekoran kegagalannya hadir bagi menyambung keterangan hari ini.

Mohd Nor Hamzah tidak hadir untuk menyambung keterangan dalam prosiding petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang.

Peguam Amin Othman yang mewakili pihak pempetisyen bekas calon BN, Jasmira Othman berkata Hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan waran tangkap apabila Mohd Nor tidak hadir pada prosiding hari ini.

“Pada 14 Mac, Hassan Abdul Ghani telah mengarahkan Mohd Nor untuk kembali ke mahkamah pada 16 Mac untuk menyambung semula keterangannya.Bagaimanapun pada pagi 16 Mac (hari ini), Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah.

“Oleh itu, atas permohonan peguam pempetisyen, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor. Perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Marang akan disambung pada 19 Mac,” beritahu Amin, lapor Malaysikini.

Laporan sebelum ini menyebut petisyen itu difailkan pada 3 Januari di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Abdul Hadi mempertahankan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain – Jasmira, Azhar Ab Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

UMNO Terengganu membuat petisyen terhadap tiga keputusan pilihan raya di Terengganu iaitu Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan mendakwa, PAS memberikan rasuah kepada pengundi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNOTerengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi.

Beliau mendakwa PAS mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Dalam pada itu, peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili responden menjelaskan Mohd Nor pada mulanya memohon untuk hadir pada sebelah petang memandangkan saksi ada urusan penting yang perlu diselesaikan.

Peguam itu menjelaskan mahkamah pilihan raya bagaimanapun tidak membenarkan dan mahu saksi itu datang pagi ini dan waran tangkap dikeluarkan apabila saksi tidak hadir.

“Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap untuk YB (Mohd Nor) untuk terus memberi keterangan pada Ahad,” kata Yusfarizal.

BACA JUGA: SPRM ada cukup bukti dakwa ahli PAS beri wang tunai kepada pengundi Marang