Pasukan jihad tangani inflasi tidak diteruskan, kerajaan usaha tingkat kuasa belanja

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan pada Jun tahun lalu di bawah pentadbiran terdahulu tidak diteruskan lagi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Fuziah Salleh berkata jawatankuasa yang terdiri beberapa Menteri Kabinet ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu tidak menampakkan hasil kerana kadar inflasi tetap meningkat.

“Buat makluman, pasukan itu tidak lagi diteruskan kerana kita dapati tidak ada kesan.

“Kita tengok kadar inflasi sama, dari tahun lepas sampai sekarang dan kita lihat tahun ini ada sedikit pengurangan dari peningkatannya.

“Jadi kita tak teruskan. Lagipun tak efektif mesyuarat dua kali seminggu ni. Jadi tidak ada penerusan jawatankuasa tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (Gopeng-PH) yang bertanya sama ada pasukan khas tangani inflasi masih wujud dan sejauh mana keberkesanan pasukan itu yang ditubuhkan Jun tahun lalu.

Sementara itu, kepada soalan asal Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau), Fuziah menjelaskan kerajaan sedang melakukan usaha serampang dua mata iaitu menangani inflasi dan kenaikan harga barang serta dalam masa sama meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya kerajaan berusaha meningkatkan kuasa belanja rakyat melalui Jualan Rahmah dan Menu Rahmah kerana ia terbukti membantu menurunkan kadar peningkatan harga makanan bermasak di luar rumah.

Katanya jika merujuk kepada indeks harga pengguna kadar inflasi menunjukkan peningkatan lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Kita lihat ada pengurangan peningkatan dalam kadar inflasi itu,” katanya.

Indeks Harga Pengguna (IHP) semakin mereda kepada 3.7 peratus pada Januari 2023 berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IHP yang mengukur kadar inflasi di Malaysia menunjukkan trend penurunan sejak Oktober 2022.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dipetik sebagai berkata kenaikan inflasi negara pada bulan tersebut disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel (6.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (6.7 peratus) dan pengangkutan (4 peratus).

BACA JUGA: Inflasi kini alami aliran penurunan