Tingkat penguatkuasaan tangani pencemaran Sungai Langat

Dalam usaha mengatasi pencemaran sungai di Sungai Langat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan strategi merangkumi program penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran, pengawasan kualiti air sungai dan pelaksanaan program komunikasi.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, antara langkah diambil adalah mempertingkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan termasuklah kompaun, tindakan mahkamah, tarik atau gantung lesen dan perintah larangan operasi.

“Kementerian juga akan memastikan projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terutama melibatkan kerja tanah, hendaklah menyediakan pelan kawalan hakisan dan mendapan yang seterusnya mematuhi kelulusan syarat-syarat EIA yang berkaitan.

“Kerajaan akan mengenalpasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran di bawah Akta 127 supaya penguatkuasaan lebih berfokus,” katanya menjawab soalan Sany Hamzan (Hulu Langat-PH) berkenaan langkah menangani pencemaran Sungai Langat.

Sisa dari premis kilang antara penyumbang kepada pencemaran dan penurunan kualiti air Sungai Langat.

Sementara itu, Nik Nazmi memberi jaminan akan meningkatkan penggunaan teknologi dalam memantau pematuhan kilang-kilang yang melepaskan efluen dengan menggunakan dron.

Selain itu, kementerian akan menggunakan pelaporan pemantauan alam sekitar secara atas talian dan meningkatkan penggunaan maklumat pengawasan kualiti air sungai untuk merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan.

“Akhir sekali, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mewujudkan pelan tindakan kecemasan untuk kegunaan Air Selangor sebagai operator untuk menghadapi gangguan bekalan air akibat penutupan loji,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan peruntukan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebanyak RM6.53 bilion.

RUU peringkat jawatankuasa itu diluluskan menerusi undian suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Kementerian tersebut menerima RM1.67 bilion peruntukan mengurus manakala RM4.87 bilion diberikan bagi peruntukan pembangunan.

BACA JUGA Kekang isu pencemaran jadikan Rawang semakin sihat