Kekang isu pencemaran jadikan Rawang semakin sihat

Apabila bercakap fasal pencemaran, mudarat yang sama akan berlaku kepada alam dan manusia tanpa mengira negeri atau mana-mana kawasan sekalipun.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, beliau turut mempunyai pengalaman menyelesaikan isu pencemaran di kawasannya pada September 2020, yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air 1.2 juta pengguna.

Menurutnya, dua kawasan perindustrian utama di Rawang adalah terletak di kawasan Taman Pelangi dan Rawang Perdana, Selangor.

“Dua kawasan ini memang kawasan industri berat dan pernah berlaku isu pencemaran air beberapa kali yang puncanya dari Rawang disebabkan oleh kilang-kilang haram.

“Pengalaman itu pahit tetapi dengan ketegasan kerajaan negeri mengambil tindakan pada waktu itu terhadap kilang-kilang haram telah berjaya menyelesaikannya,” katanya kepada Harapan Daily.

Katanya, beliau sendiri telah menolak rayuan pemilik kilang tersebut sebaliknya menyokong tindakan kerajaan negeri yang dilihat tepat dalam menyelesaikan isu berulang itu.

Dalam pada itu, Chua akan bersama dengan pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan pemeriksaan berkala terhadap kilang-kilang yang mempunyai isu pencemaran di kawasannya.

“Saya rasa ini tanggungjawab perkilangan industri, di mana mereka tidak boleh hanya mengharapkan keuntungan dengan meminimumkan kos sehingga menyebabkan pencemaran berlaku.

“Pengusaha kilang turut perlu memainkan peranan seperti meningkatkan infrastruktur dan mempunyai sistem penapisan supaya penduduk di sekitar tidak terjejas,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor yakin pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dapat mengekang aktiviti pencemaran air yang berlaku di seluruh negara termasuk negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pindaan berkenaan mampu memastikan kelestarian sumber bekalan air dan air mentah berada dalam keadaan baik dan terurus.

BACA JUGA Naik taraf jalan RM227 juta surai masalah kesesakan di Rawang