Wee Ka Siong, jangan berlindung di sebalik kekebalan Ahli Parlimen

Pengimport telur dari India, J & E Advance Tech meminta Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak berselindung di sebalik kekebalan sebagai Ahli Parlimen untuk memfitnah mereka.

Dalam satu kenyataan J & E hari ini, mereka meminta Presiden MCA itu untuk membuat kenyataan yang sama seperti yang beliau buat di Parlimen, yang didakwa telah merosakkan reputasi dan perniagaan syarikat itu, di luar Parlimen.

Kenyataan itu adalah:-

1) bahawa masa pelayaran telur import dari India adalah 4 – 5 minggu.

2) bahawa beliau membeli telur import kami pada harga 50 sen sebiji.

Namun, syarikat itu berkata, “YB Datuk Seri Wee Ka Siong nampaknya tidak akan berani melakukannya.”

Bagi pengimport telur dari India itu, kedua-dua kenyataan tersebut adalah sangat mengelirukan.

“Oleh itu, kami menyatakan dengan jelas kepada YB Datuk Seri Wee Ka Siong, jangan gunakan hak istimewa Parlimen anda untuk terus membuat kenyataan palsu dan mengelirukan seluruh negara, demi untuk memenuhi agenda politik anda dan jangan menyembunyikan diri di sebalik perisai kekebalan Parlimen sebagai pertahanan tunggal anda,” kata kenyataan itu.

Telur yang diimport dari India warna putih.

Menurut J & E, sebelum membuat kenyataan di Parlimen, Wee Ka Siong telah menyatakan perkara yang sama melalui laman Facebook beliau dari 9 Januari 2023 tetapi tidak dinyatakan nama syarikat mereka.

Dalam posting itu, Wee Ka Siang mengatakan bahawa telur import memerlukan 4 minggu untuk sampai ke Pelabuhan Klang, Malaysia dari Pelabuhan Chennai, India.

“Ia bertujuan untuk memberi sebab dakwaannya bahawa telur import adalah produk makanan yang mudah rosak dan akan rosak sebelum sampai ke Malaysia, sedangkan waktu pelayaran sebenarnya adalah selama 4 hari sahaja,” katanya.

Selain itu, katanya, Wee Ka Siong juga mengatakan bahawa telur import mereka dijual pada harga 50 sen, “padahal beliau tahu bahawa telur import kami dijual antara 41 sen hingga 43 sen di pasaran runcit dan itu pun tanpa subsidi 10 sen yang diberikan kepada pengeluar telur tempatan.”

BACA JUGA Ka Siong enggan betulkan ucapannya berkaitan isu telur import di Parlimen