‘Bagi RM200 juta kepada parti, Alhamdulillah’ – Anwar bidas pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap pembangkang yang masih mempertikai usaha kerajaan untuk membantu rakyat termasuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Dalam masa sama, Perdana Menteri sekali lagi mengulangi tekadnya untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.
Beliau menegaskan bahawa tidak munasabah untuk negara yang sudah lama mencapai kemerdekaan selain mempunyai banyak hasil kekayaan mempunyai rakyat dalam kumpulan miskin tegar.
“Orang pembangkang yang kata tidak boleh (membasmi kemiskinan tegar), tidak mengapa.
“Nak bagi RM1,000, RM2,000 kepada miskin, tak boleh. Tapi bagi RM200 juta kepada parti, Alhamdulillah,” sindirnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menyelar pihak pembangkang yang menyerang usaha kerajaan yang meminta usahawan untuk membantu pesawah miskin.
“Yang bising, kenapa? kalau masuk akaun sendiri, setuju? Kalau masuk dalam akaun pesawah, tidak boleh?” tempelaknya lagi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan merujuk pada permintaannya kepada pemilik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk menyalurkan RM60 juta daripada keuntungan yang diraih kepada pesawah.
Untuk rekod sejak Julai tahun lalu ketika masih menjadi Ketua Pembangkang, Anwar menyarankan agar Bernas berkongsi keuntungannya dengan pesawah padi.
Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar memberitahu bahawa Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM10 juta untuk tahun itu dan RM50 juta pada tahun ini kepada golongan pesawah miskin.
Bagaimanapun, reaksi pemimpin pembangkang terutama pemimpin Pas adalah sebaliknya.
Antaranya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menganggap arahan Anwar kepada tokoh korporat itu hanyalah langkah populis serta mahu menunjuk-nunjuk.
BACA JUGA Bukannya kata-kata tapi pelaksanaan yang dinilai – Anwar