Bukannya kata-kata tapi pelaksanaan yang dinilai – Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebelum ini tugasnya berdasarkan pada idealisme tetapi kini, peranannya dinilai oleh rakyat melalui pelaksanaan.

Berucap dalam Kongres Khas PKR hari ini, pemimpin nombor satu negara itu mengingatkan bahawa seluruh jentera parti tersebut perlu sama bertindak.

“Sekarang di tampuk pemerintahan, kita bukan dinilai berdasarkan kata-kata sebaliknya melalui pelaksanaan.

“Tugas ini bukan hanya pada seorang Perdana Menteri atau para menteri semata-mata, sebaliknya seluruh jentera parti akan dinilai,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pagi tadi.

Dalam masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan berkata, kerajaan yang dipimpinnya sama sekali tidak akan bertolak ansur kepada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November tahun lalu, beliau sedikit pun tidak berkompromi dengan rasuah.

“Selama empat bulan lebih kita dalam kerajaan tidak sedikit pun kita bertolak ansur pada amalan rasuah.

“Sebaliknya, memelihara dan membela nasib rakyat adalah keutamaan dalam semua komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan,” tambahnya lagi dalam perhimpunan bagi mengetahui hala tuju parti

Kongres Khas PKR yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisma’ itu turut dihadiri Setiausaha DAP, Anthony Loke dan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Kira-kira 1,500 perwakilan dan akar umbi PKR dari seluruh negara hadir dalam kongres bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

 

BACA JUGA Tumbangkan kerajaan: Mudaratkan demokrasi berparlimen