Hannah Yeoh yang berhak dipertahankan

Oleh NOR MISWARY RAMLI

Orang Islam yang membuat fitnah, tidak kiralah sama ada kepada orang Islam atau kepada bukan Islam, dosa melakukan fitnah tetap sama. Haram hukumnya.

Tukang fitnah yang beragama Islam tetap menanggung dosa memfitnah, walaupun yang difitnah itu adalah mereka yang bukan beragama Islam.

Perbuatan orang Islam membuat fitnah ditegah dalam Islam dan telah mendapat ancaman keras daripada Rasulullah SAW.

Berwaspadalah dengan doa orang yang dizalimi. Nabi SAW telah bersabda:

اتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya: “Dan berhati-hatilah kepada doa orang yang dizalimi kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah SWT” [HR al-Tirmizi (2014)]

Hannah Yeoh

Di dalam hadis tersebut, tidak pula mensyaratkan bahawa mesti orang yang dizalimi tersebut adalah orang Islam, bahkan orang bukan Islam termasuk di dalam hadis tersebut sekiranya dia dizalimi sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A.

Dalam seminggu ini sahaja, telah dua kali Hannah Yeoh menjadi mangsa fitnah jahat hanya kerana kerja-kerja yang beliau lakukan sebagai Menteri di Kementerian Belia dan Sukan.

Paling memalukan, tukang fitnah tersebut adalah mereka yang mengakui beragama Islam dan orang Melayu dari parti yang kononnya memperjuangkan bangsa dan mendakwa parti mereka berlandaskan agama.

Mengenali Hannah Yeoh, bekerja dan berurusan parti dengan beliau sejak tahun 2012 lagi, saya tidak pernah terlepas melihat wanita kecil ini telah difitnah dan dituduh dengan pelbagai gelaran yang keterlaluan, banyak kali.

Betapa kuat yang kalian nampak di luar, kadang-kadang terkesan juga pada tubuh badan yang menanggungnya. Saya akui, saya tidak terkecuali turut rasa terkesan melihat beliau difitnah begini.

Derita fitnah demi fitnah, berterusan tanpa berkesudahan seperti ini, tidak ada jiwa yang mampu menanggungnya – tidak terkecuali wanita anak dua ini.

Sebagai anak Kedah yang boleh dikatakan mendapat pendidikan agama yang mencukupi, saya boleh berbangga untuk menyebutnya di sini, betapa Hannah Yeoh sangat mementingkan nilai toleransi dan akhlak yang baik.

Nilai-nilai yang baik yang kami pelihara dan tonjolkan melangkaui politik dan kepartian. Sepanjang bekerja dengan beliau, tidak pernah sekali pun beliau berdakwah atau ada kecenderungan mempengaruhi saya kepada agamanya.

Beliau menghormati agama Islam – agama yang saya yakini sejak saya lahir – dalam setiap tindakan dan tingkah laku sehariannya.

Sebab itulah, hari ini saya ke Balai Polis Presint 7, Putrajaya dan membuat laporan polis berkaitan fitnah yang dibuat Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan terhadap Hannah Yeoh.

Saya mempertahankan Hannah Yeoh bukan kerana saya mahu melawan tukang fitnah yang datang dari parti Pas, tetapi saya mempertahankan Hannah Yeoh kerana beliau berhak dipertahankan.

BACA JUGA Hannah Yeoh kecam keras bekas pemain badminton buat ucapan rasis