PM Anwar tekad guna kuasa politik lindungi rakyat, serang perasuah

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi iltizam politiknya menggunakan kuasa yang dimilikinya sebagai Perdana Menteri untuk memerangi rasuah.

Presiden PKR itu bahkan menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak akan tergugat dengan pelbagai dakwaan yang menyatakan tindakan diambil terhadap individu tertentu sebagai berbaur politik.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan bahawa kuasa politik perlu digunakan sebaik mungkin.

Hal tersebut perlu, ujarnya, supaya individu atau pihak berpengaruh dapat diambil tindakan kerana terbabit dengan jenayah seperti rasuah.

“Selama ini kuasa politik itu melindungi penjenayah besar. Kuasa politik itu melindungi perasuah-perasuah besar.

“Kuasa politik itu memperkayakan beberapa kerat penguasa dan digunakan kuasa itu melindungi mereka dan menghentam rakyat.

“Jadi, kita (Kerajaan Perpaduan) akan menggunakan kuasa (politik) itu melindungi rakyat dan menyerang perasuah,” katanya sempena Kongres Nasional Khas PKR hari ini.

BACA JUGA Bukannya kata-kata tapi pelaksanaan yang dinilai – Anwar