Gempur kawasan MB, 200 ahli baru sertai AMANAH di Sik

Usaha AMANAH Kedah menggempur kawasan Menteri Besar Kedah khususnya Dun Jeneri dan Parlimen Sik membuahkan hasil apabila hampir 200 ahli baru menyertai AMANAH kawasan Sik pada Sabtu.

Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata sebanyak enam lagi cawangan baru AMANAH telah berjaya ditubuhkan dengan penyertaan yang terdiri dari bekas pendokong Pas, Umno dan juga ahli baru.

Tegas beliau, keenam-enam cawangan tersebut adalah cawangan Beris Jaya, Kuala Jeneri, Teloi Tua, Kerawai, Batu Lapan dan juga cawangan Telaga Batu.

“Penyertaan mereka yang juga terdiri dari pendokong Pas serta Umno sebelum ini membuktikan bahawa mereka yakin dengan kepimpinan kerajaan Madani yang sedang menerajui negara ketika ini.

“Kepimpinan kerajaan sedia ada yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun masih baru telah berjaya membuktikan bahawa ia mampu memberi pembelaan terhadap nasib rakyat.

“AMANAH Kedah optimis, ramai lagi akan menyertai kami dan banyak lagi cawangan baru akan dibuka setelah rakyat semakin yakin dengan gagasan yang sedang dipelopori oleh kerajaan Madani kini,” ujar beliau ketika dihubungi.

BACA JUGA AMANAH Kedah sasar menang sembilan kerusi PRN