Harga barang: Selangor cari mekanisme baharu lepas Jelajah Ehsan tamat Mei

Kerajaan Selangor sedang mencari mekanisme baharu bagi membantu rakyat menghadapi cabaran semasa kepenggunaan berikutan kenaikan harga barang.

Exco Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata langkah itu bagi mengganti program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang akan berakhir Aidilfitri ini.

“Program intervensi JER tidak boleh berpanjangan tetapi subsidi dalam keadaan tertentu memang kena ada kalau tidak akan jadi sukar (untuk rakyat).

“Jangka pendek kita boleh bagi subsidi tetapi jangka panjang kena ada kaedah yang lebih mampan, misalnya bagaimana mahu turunkan harga ayam.

“Saya selalu sebut dengan menteri (pertanian) bahawa kita kena cari jalan untuk turunkan harga makanan ayam supaya harga ayam juga turun,” kata Ir Izham Hashim, lapor Selangorkini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Sabak Bernam di Bagan Terap, Sungai Besar semalam.

Izham berkata selain PKPS, kerajaan negeri juga merancang melakukan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) bagi menawarkan pakej makanan seperti Menu Rahmah.

“Kita akan tengok bagaimana mahu pakejkan dengan Menu Rahmah. Kita hendak jenamakan satu jenama dan pakej sesuai yang boleh bantu rakyat tetapi lebih mampan,” katanya.

Dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan JER dari September hingga Disember lepas, program itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah itu diperluas ke 1,200 lokasi sejak 16 Januari hingga menjelang Mei.

Jualan murah tersebut menawarkan ayam segar RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 satu pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 satu pek), minyak masak lima kilogram (RM25) serta beras lima kilogram (RM10).

BACA JUGA: Lebih banyak produk menjelang Aidilfitri menerusi JER