Kepimpinan baharu UMNO beri mesej akar umbi dukung Kerajaan Perpaduan

Barisan kepimpinan UMNO yang baharu menunjukkan usaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan mendapat dukungan daripada peringkat akar umbi parti itu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO berkata keputusan pemilihan parti memberikan mesej bahawa elemen yang mahu menggugat kerajaan dan memecahkan parti dari luar ditolak.

Ujarnya, ia jelas ditolak perwakilan kerana terdapat kira-kira 160,000 perwakilan telah membuat pemilihan.

“Jelas daripada keputusan pemilihan sayap UMNO di peringkat kawasan Parlimen (bahagian) dan Pusat selain pemilihan di peringkat bahagian dan nasional memperlihatkan telahan untuk gugat kerajaan yang ada boleh dielakkan.

“Pemilihan kepimpinan UMNO memperlihatkan bahawa dukungan daripada akar umbi jelas untuk kepimpinan peringkat nasional memberikan dukungan sepenuhnya kepada keutuhan kerajaan perpaduan yang ada sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Mesyuarat kali kedua itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Turut hadir Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan pemilihan juga menunjukkan akar umbi mahu kerajaan sedia ada di bawah kepimpinan Anwar diperkukuhkan.

Beliau turut yakin dengan dukungan rakan-rakan dalam BN sendiri selain parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk terus mendukung Kerajaan Perpaduan berkenaan.

“Maka kombinasi 20 parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini dan diperkuatkan lagi dengan kepimpinan baharu UMNO akan memperkukuhkan kerajaan yang ada.

“Kami berjanji Kerajaan Perpaduan akan terus didokong oleh kami bersama rakan-rakan parti lain termasuk dari BN,” jelasnya.

Sementara itu Anwar berkata keputusan Pemilihan UMNO 2023 membawa mesej kemenangan satu pasukan yang meyakinkan.

Ujarnya keputusan berkenaan menunjukkan beliau berupaya memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya sekarang.

Terdahulu dalam keputusan pemilihan UMNO semalam menyaksikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menjadi pelopor kepada usaha kerajaan perpaduan di Pahang menjadi muka baharu dalam barisan Naib Presiden parti.

Seorang lagi muka baharu ialah Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berjaya mempertahankan jawatannya.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin utama dalam Kerajaan Perpaduan turut membarisi 25 pemenang bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026.

Mereka antaranya Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah yang mendapat 178 undi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (175) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (167).

Datuk Seri Ahmad Maslan mendapat 167 undi, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (160), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (152) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (151), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (129), Datuk Azian Osman (124) dan Datuk Dr Shaik Hussein Mydin (118).

Selain itu, Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad (118) Datuk Zahida Rafik Khan (113) dan Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (113).

Turut menang ialah Datuk Seri Mohd Sharkar Bin Shamsudin (111), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (110), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (108), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (106), Datuk Johan Abd Aziz (102), Isham Jalil (101), Datuk Seri Abd Rahman Dahlan (99).

BACA JUGA: Kerajaan Perpaduan semakin kukuh