Pertandingan 2 penjuru dalam PRN di 6 negeri

AMANAH menjangka, pilihan raya negeri (PRN) akan datang akan menyaksikan pertembungan dua penjuru sahaja selepas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, pertandingan yang akan berlaku nanti adalah antara PH dan BN yang bergabung melawan Perikatan Nasional (PN).

Ini bermakna, AMANAH menganggap parti-parti kecil yang lain tidak membawa makna besar dalam PRN nanti dan mereka boleh diabaikan dalam strategi pilihan raya mereka.

“Pilihan raya kali ini tidak akan menjadi pertandingan tiga penjuru lagi dan ianya akan menjadi pertandingan dua penjuru selepas PH dan BN mencapai kata sepakat daripada segi strategi pilihan raya,” katanya.

Katanya, konsensus yang terjalin antara PH dan BN akan mendatangkan satu suasana yang lebih baik bagi Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kemenangan di tiga negeri (Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang) selain menunjukkan prestasi yang lebih baik di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Walaupun diakui bahawa Terengganu mungkin negeri yang paling sukar untuk kita (PH) tembusi tetapi dengan kerjasama antara PH dan BN serta prestasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan membolehkan PH mencapai prestasi yang lebih baik dalam PRN kali ini.

“Saya mengharapkan PH boleh mencapai atau melakukan satu kejutan di Kelantan atau Kedah,” kata Khalid kepada Harapan Daily ketika di wawancara di Shah Alam, baru-baru ini.

Khalid juga yakin, PH akan berpeluang menang lebih besar dalam PRN kali ini kerana semaswa PRU 15 lalu, PN banyak menggunakan sentimen kaum dan agama tetapi bukan fakta sebenar.

Sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, Perikatan Nasional (PN) dikatakan banyak menggunakan sentimen asas Melayu-Islam sebagai propaganda kempennya untuk meraih pengundi.

Kata Khalid Abdul Samad PRN di enam negeri akan datang akan digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap segala penipuan dan fitnah yang telah dilakukan oleh PN.

Menurutnya, ini mungkin di antara hikmah di sebalik keputusan untuk tidak mengadakan PRN dan PRU secara serentak bagi memperbetulkan keadaan.

“Secara umumnya sokongan Melayu terhadap PN semasa PRU15 itu adalah berdasarkan kepada ‘misinformation’ (maklumat salah) yang telah ditularkan dan memberi gambaran bahawa PH itu adalah anti Islam.

“Selepas ditubuhkan kerajaan (Kerajaan Perpaduan), saya merasakan bahawa ramai di kalangan masyarakat Melayu telah menyedari bahawa propaganda itu tidak benar dan apa yang telah diamalkan oleh PN iaitu menipu dan memfitnah semakin nyata,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya sebenarnya menunjukkan sokongan orang Melayu terhadap PH dan BN adalah tidak jauh berbeza dengan sokongan yang telah diperolehi oleh PN pada PRU15 lalu.

Khalid turut menjangkakan bahawa PRN yang bakal diadakan nanti pada bulan Julai akan memberikan keputusan yang lebih baik kepada PH dengan dua faktor.

 

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan semakin kukuh