Kerajaan Perpaduan perlu diberi peluang pastikan kestabilan politik
Kerajaan Perpaduan yang baru berusia empat bulan itu wajar diberi peluang dan dinilai secara adil oleh semua pihak untuk memastikan kestabilan politik negara lebih terjamin.
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negeri Sembilan Norwani Ahmat berkata Kerajaan Perpaduan bukan sahaja perlu didukung oleh parti-parti politik malah turut perlu dipertahankan oleh rakyat secara keseluruhannya.
Beliau berkata perkara itu bersandarkan pada hasrat oleh Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan ‘kerajaan beta’ ini dibentuk setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
“Mahu tidak mahu, hasrat utama Kerajaan Perpaduan dibentuk berdasarkan restu Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan negara terus stabil,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perpaduan DUN Paroi di Padang Apartmen Taman Tasik Jaya, Senawang semalam.
Program yang dianjurkan oleh Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan negeri turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad.
Norwani berkata kerajaan perlu diberikan tempoh lima tahun untuk menjadi benar-benar kukuh bagi membolehkan pelabur luar lebih mempunyai keyakinan sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
“Oleh itu, kita mahu ia bertahan bukan untuk beberapa bulan sahaja kerana apabila negara tidak stabil yang akan mendapat kesannya adalah rakyat,” katanya yang juga Ketua AMANAH Rembau.
Jelasnya, walaupun ada sesetengah pihak yang tidak menyokong kerjasama gabungan itu atas sebab perbezaan ideologi, semua pihak harus sedar dan fikir hala tuju yang lebih jelas untuk Malaysia.
“Walaupun ramai yang tidak bersetuju (gabungan Kerajaan Perpaduan) namun kita harus pandang ke hadapan untuk mengutamakan soal negara.
“Usah kita pandang yang lepas, hala tuju negara dan manfaat negara lebih penting bagi saya. Kerana hasrat tertubuhnya Kerajaan Perpaduan adalah meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” ujarnya.
BACA JUGA: Sijil Audit Negara bukti keupayaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan