KKM, TH kekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan jemaah haji tahun ini
Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan bagi bakal haji Malaysia musim haji 1444H/2023 seperti tahun sebelumnya.
Perkara itu susulan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih mengklasifikasikan Covid-19 sebagai pandemik meskipun Malaysia kini menuju ke fasa endemik.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata saringan kesihatan yang ketat pada musim haji lalu merupakan langkah yang berkesan apabila peratusan jemaah yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun sebelumnya.
“Selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM, setiap bakal jemaah haji Malaysia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik-klinik yang diiktiraf.
“Langkah ini adalah bagi memastikan jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang optimum,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Syed Saleh berkata surat tawaran haji akan dikeluarkan bermula 22 Mac dan semua bakal jemaah haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran melalui www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi THiJARI bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, TH berkata pemeriksaan kesihatan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah haji berada pada tahap kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna.
“Kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah garis panduan ini antaranya menetapkan Indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 40, penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit yang serius seperti kanser,
penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemeriksaan kesihatan bakal haji merupakan aktiviti penting yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama TH ke atas setiap bakal jemaah.
Beliau berkata memandangkan ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititikberatkan oleh semua bakal jemaah haji bermula di tanah air.
“Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadat haji melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia.
“Semasa di Tanah Suci, jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak, elakkan daripada berhubung dengan mereka yang bergejala dan menjalani ujian RTK-Ag COVID-19 kendiri sekiranya mendapati diri bergejala,” kata beliau.
BACA JUGA: 31,600 bakal jemaah terima surat tawaran haji bermula esok