Permohonan Pejuang sertai Perikatan Nasional ditolak

Hasrat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak kesampaian apabila permohonan mereka telah ditolak.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung semalam.

“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air ke Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Senator Datuk Dr Dominic Lau dan semua wakil parti anggota gabungan itu.

Pada awal bulan ini, Pejuang akhirnya memutuskan untuk menyertai PN dengan alasan tidak mahu berlaku perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya akan datang.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dipetik sebagai berkata parti itu membuat keputusan bahawa adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua-dua pihak.

“Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama Hamzah yang juga Ketua Pembangkang memberitahu, PN juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kata beliau, lambang PAS digunakan di PRN Kelantan dan Terengganu.

“Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” kata beliau.

Hamzah memberitahu, Majlis Tertinggi PN mengumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN manakala Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin oula dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan.

BACA JUGA: PEJUANG mohon sertai PN, Mukhriz kata keputusan itu lebih untung