Khalid ingatkan rakyat jangan terperdaya sentimen PN
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad mengingatkan rakyat agar jangan mudah terperdaya dengan sentimen dimainkan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan semula kuasa mereka.
Beliau berkata, Negeri Sembilan dilihat menjadi sasaran PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana negeri itu baru sahaja satu penggal di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Negeri Sembilan ini sasaran mereka. Dia kata tiga negeri yang ada pada mereka iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan sudah selamat dalam ‘tangan’.
“Kemudian mereka sasarkan lagi tiga negeri di bawah PH iaitu termasuk Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
“Oleh sebab, Negeri Sembilan ini negeri yang baru sahaja satu penggal berada di bawah pentadbiran PH berbanding Selangor dan Pulau Pinang (dianggap sudah mantap dan stabil), maka Negeri Sembilan dianggap negeri yang mungkin paling mudah untuk ditawan,” katanya.
Khalid berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Padang Apartmen Taman Tasik Jaya, Senawang kelmarin.
Turut hadir dalam program anjuran Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan negeri itu ialah Naib Presiden AMANAH merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Naibnya, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.
BACA JUGA Khalid beri gred A pencapaian kerajaan perpaduan, harungi cabaran pasca PRU-15
Â