PN tolak Pejuang elak terbeban isu agihan kerusi PRN enam negeri

Keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Pejuang dipercayai disebabkan gabungan itu sudah terbeban untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk dalam isu pengagihan kerusi.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata keputusan PN itu tidak pelik kerana mereka kini terumbang-ambing dan berdepan pelbagai masalah.

“Saya tidak melihat Pejuang itu adalah sebuah parti yang perlu diberi perhatian oleh PN itu sendiri pada ketika ini.

“PN melihat Pejuang yang diterajui oleh (Datuk Seri) Mukhriz tidak mempunyai satu kekuatan untuk bersama mereka (PN) sebagai sebuah parti politik untuk bekerjasama,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Mohd Yahya yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya PKR Selangor berkata kehadiran Presiden Pejuang juga  merupakan satu ancaman kerana PN berhasrat mahu menguasai keenam-enam negeri dalam PRN.

“Mahiaddin (Pengerusi PN) sudah cukup mengenali Mukhriz dan beranggapan bahawa dia (Mukhriz) sebagai satu ancaman kepadanya.

“Sekiranya Pejuang bersama mereka (PN), isu pembahagian kerusi turut menjadi bebanan dan masalah buat mereka sekiranya dituntut oleh Pejuang di enam negeri yang menghadapi PRN,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 20 Mac lalu telah membuat keputusan menolak permohonan Pejuang untuk menjadi sebagai sebahagian parti komponennya.

Mohd Yahya berkata faktor ketiadaan bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pejuang juga berkemungkinan menjadi penyebab penolakan itu.

“Sekiranya Dr Mahathir masih ada lagi dalam Pejuang, berkemungkinan PN membuat keputusan yang berbeza,” ujarnya.

Pada 29 November 2020, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, idea penubuhan PN datang daripada Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik pada ketika itu.

BACA JUGA: Senjata dan peluru PN sudah tumpul, PH mampu pertahan tiga negeri – AMANAH

Â