Senjata dan peluru PN sudah tumpul, PH mampu pertahan tiga negeri – AMANAH

Senjata serta peluru yang digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) yang memainkan sentimen orang Melayu berjaya dipatahkan dan tumpul selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, kata Pengarah Komunikasi AMANAH.

Justeru itu, Khalid Abdul Samad berkata PN tidak boleh lagi mengharapkan akan dapat menerima sokongan terutamanya daripada Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sama seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ini mungkin di antara hikmah di sebalik keputusan di mana kita adakan PRN selepas PRU dan tidak dilakukan secara serentak.

“Apabila kita buat PRN selepas PRU, maka apa yang telah berlaku ialah segala senjata dan peluru yang ingin digunakan oleh pihak PN telah habis diguna pakai dalam PRU-15.

‘Tempoh masa yang ada pada kita untuk memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap segala penipuan dan fitnah yang dilakukan oleh PN dalam PRU15 adalah satu peluang keemasan bagi kita untuk menentukan prestasi yang lebih baik dalam PRN,” katanya dalam wawancara bersama Harapan Daily baru-baru ini.

Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal berkata beliau tak jangka bahawa PRN yang bakal diadakan pada Jun atau Julai akan menunjukkan keputusan yang sama seperti mana keputusan PRU-15.

Jelas beliau sebenarnya berdasarkan kepada pembentangan yang pernah dihadirinya menunjukkan secara keseluruhannya sebenarnya sokongan orang Melayu terhadap PH dengan digandingkan bersamaa BN tidak jauh berbeza dengan sokongan yang telah diperoleh oleh PN semasa PRU-15.

“Secara umumnya sokongan Melayu terhadap PN semasa PRU-15 itu adalah berdasarkan kepada ‘miss information’ yang telah ditularkan yang memberi gambaran bahawa PH itu adalah anti Islam dan sebagainya.

“Setelah ditubuhkan kerajaan, saya merasakan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat Melayu telah menyedari bahawa propaganda itu tidak benar dan apa yang telah diamalkan oleh PN iaitu menipu dan memfitnah semakin nyata,” katanya.

Selain itu, Khalid berpandangan bahawa PRN tidak akan menjadi pertandingan tiga penjuru apabila PH dengan BN boleh mencapai kata sepakat dari segi strategi pilihan raya.

“Kita (PH) akan bertanding di kerusi-kerusi tertentu dan tidak akan saling bertanding di antara satu sama lain. Ini akan mendatangkan satu suasana yang lebih baik bagi Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah menjamin kemenangan bukan sekadar hanya tiga negeri yang sedang berada di bawah kita sekarang ini tetapi juga akan menunjukkan prestasi yang lebih baik sama ada di Kedah ataupun di Kelantan dan mungkin juga di Terengganu,” katanya penuh keyakinan.

Katanya meskipun Terengganu mungkin negeri yang paling sukar hendak ditembusi tetapi dengan kerjasama dengan BN dan berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan, PH boleh mencapai prestasi yang lebih baik dalam PRN.

“Saya juga mengharapkan kita boleh mencapai atau melakukan satu kejutan di Kelantan atau Kedah,” ujarnya.

Artikel ini turut disumbangkan oleh wartawan Amirul Azhan dan jurukamera Wan Zahari Wan Salleh

BACA JUGA: Khalid beri gred A pencapaian kerajaan perpaduan, harungi cabaran pasca PRU-15