Selepas mengaku usaha jatuhkan kerajaan, kini Hadi kata Pas pilih demokrasi

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini tampil dengan artikel panjang menegaskan bahawa parti dipimpinnya memilih demokrasi bukan demonstrasi.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Pas tidak menentang demonstrasi secara mutlak semasa laungan lantang ‘Reformasi’ yang menjadi slogan PKR.

“… Pas tidak menyalahgunakannya sekali-kali laksana kanak-kanak menggunakan api yang boleh membakar rumah sendiri, bukan untuk memasak mahupun mengambil manfaat daripada tenaga dan cahayanya,” kata Hadi.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa apabila Pas menarik diri daripada Bersih, kekuatan parti yang sebenar telah dipergunakan untuk suatu agenda yang salah.

“Jentera Pas digunakan juga untuk pilihan raya bagi memenangkan rakan gabungan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) yang tiada jentera yang cukup kerana tidak memiliki cawangan yang banyak.

“Sudah terlalu banyak sumbangan harta dan tenaga ahli Pas dikorbankan demi berkawan, di samping menahan sabar oleh tindakan dan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip dan konsep perjuangan Islam,” katanya.

Jelasnya, menerusi Minda Presiden Pas, pendekatan damai hendaklah diutamakan dalam gerak kerja Islam bahkan lebih wajib diambil khususnya terhadap apa yang berlaku di tanah air sendiri.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu juga berkata, pendekatan secara keras, termasuk demonstrasi jalanan boleh mencetuskan pergaduhan dengan polis dan tentera daripada kalangan saudara seagama dan sebangsa di dalam negara sendiri.

Sebelum ini, Hadi mengaku bahawa ada usaha oleh PN untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan malah tindakan menumbangkan kerajaan adalah biasa dalam politik.

Dia juga berkata PN berhak untuk meneruskan rancangan menumbangkan Kerajaan Perpaduan maskipun ada yang meremehkan perkara tersebut.

Kenyataan Hadi itu mengundang kritikan banyak pihak apabila dilihat tidak bertanggung jawab dan bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen supaya kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertahankan.

Beberapa laporan polis terhadap Hadi juga dibuat antaranya oleh Pemuda AMANAH Nasional dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Selain itu, memorandum juga ada dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong meminta pertimbangan baginda menarik balik gelaran Tan Sri daripada Hadi atas kenyataan itu.

BACA JUGA Wali Allah: Pemimpin Pas anggap umat alami musibah jika ‘hilang’ Abdul Hadi