Siasat Mahiaddin kerana melakukan fitnah jenayah

Pengerusi DAP kebangsaan Lim Guan Eng menuntut pihak polis melakukan siasatan ke atas pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin kerana melakukan fitnah jenayah.

Mahiaddin telah mendakwa Lim ketika menjadi Menteri Kewangan telah membatalkan pengecualian cukai untuk Yayasan AlBukhary.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata bahawa Mahiaddin gagal membuktikan dakwaannya dengan surat arahan pembatalan pengeculian cukai tersebut.

“Laporan polis ini dibuat terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin kerana melakukan fitnah jenayah (criminal defamation) terhadap saya yang menyalahi Seksyen 499 Kanun Keseksaan. Sehingga sekarang Mahiaddin gagal untuk menunjukkan bukti dan kegagalan tersebut membuktikan beliau membuat fitnah jahat terhadap saya,” kata beliau semasa sidang media sebelum laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari.

“Saya ingin menekankan sekali lagi semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan, saya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan sebarang pengecualian cukai Yayasan AlBukhary,” kata beliau yang ditemani peguam beliau, RSN Rayer.

Pimpinan DAP yang turut hadir sebagai tanda solidariti disitu ialah Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Selain itu, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How dan Ahli Parlimen Stampin Chong Chien Jen.

Lim yang juga ahli parlimen Bagan dan Adun Ayer Puteh memaklumkan bahawa kuasa membatalkan cukai ke atas Yayasan Albukhary di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya di bawah Menteri Kewangan.

Beliau turut mendakwa fitnah Mahiaddin adalah bertujuan untuk mengalihkan perhatian dari kes yang dihadapi Mahiaddin.

“Jelas sekali, fitnah Mahiaddin yang berniat jahat ini adalah untuk memainkan sentimen bagi mengalihkan perhatian daripada empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan ratusan juta ringgit,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Lim Guan Eng tidak membatalkan pengecualian cukai pendapatan sepertimana yang didakwa oleh Mahiaddin Yassin. Pengesahan tersebut dibuat semasa sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat

Menurutnya, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan (MoF), Anwar mengesahkan Lim Guan Eng tidak berbuat demikian ketika menyandang jawatan berkenaan.

Jika disabit kesalahan, Mahiaddin boleh didakwa dibawah Seksyen 499 yang memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

BACA JUGA: PM: Bagan tidak batalkan pengecualian cukai pendapatan ke atas Yayasan Albukhary