MRSM berbayar tidak guna tanah kerajaan, swasta tanggung pembiayaan – TPM

Penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar tidak akan menggunakan tanah yang dikhususkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk golongan B40.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya memberi jaminan bahawa projek itu juga tidak akan membabitkan sebarang peruntukan kerajaan kerana ia akan dilaksana melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Tentang penggunaan tanah, saya beri jaminan bahawa jika sekolah atau MRSM didirikan, saya akan pastikan tak akan guna tanah rakyat miskin. Tapi kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak yang boleh gunakan ‘smart partnership’ untuk pembinaan.

“Untuk maklumat, dalam perancangan kami tak akan guna peruntukan kerajaan sebaliknya bekerjasama dengan institusi kewangan swasta untuk pembiayaan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Beliau  yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar)  mengenai isu tanah MARA yang dikhaskan untuk golongan B40.

Terdahulu dalam soalan asalnya beliau bertanya mengenai proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar.

Menurut Ahmad Zahid, MRSM ketika ini menerima permintaan memasuki sekolah berasrama penuh itu pada tahap melebihi 300 peratus daripada kemampuan institusi pendidikan itu.

Tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kerajaan akan membuka ruang seluas-luasnya untuk anak-anak alumni MRSM memasuki ke MRSM berbayar, kata beliau.

Jelas Ahmad Zahid, projek penubuhan MRSM berbayar diyakini akan berjaya dengan mengambil kira pengalaman peribadinya menubuhkan Sekolah Menengah Agama Intiaz Ulul Albab yang tidak menggunakan sebarang peruntukan kerajaan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), Ahmad Zahid berkata penubuhan MRSM berbayar telah bercanggah dengan konsep sebenar penubuhan sekolah berasramaa penuh tersebut.

Katanya kerajaan tidak boleh mengenepikan permintaan anak-anak dari kumpulan T20 untuk mendapatkan pendidikan yang sama.

“Benar (ianya tentang) konsep MRSM. Tapi bagaimana dengan yang berkemampuan, kita nak menafikan?

“Kalau nak masuk sekolah antarabangsa kos tinggi. Sebab itu MARA melalui MRSM buat pemisahan. Ini dibiayai PFI. Ia tak akan bebankan kerajaan. Tak akan guna tanah kerajaan. Kita kena keluar dari kepompong fikiran sekarang,” katanya.

BACA JUGA: 48 murid cemerlang ditaja Yayasan Selangor ke sekolah elit