48 murid cemerlang ditaja Yayasan Selangor ke sekolah elit

Seramai 48 murid cemerlang ditaja Yayasan Selangor ke sekolah elit dengan peruntukan RM885,520 bagi mengikuti sesi persekolahan tahun 2023/2024.

Seramai 41 pelajar akan ditempatkan di lima MMaktab Rendah Sains MARA (MRSM) menerusi Program Budi Yayasan Selangor. Baki tujuh pelajar ditaja ke
Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) menerusi Program Bitara Yayasan Selangor (BITARA).

BITARA merupakan program yang dilaksanakan sejak 2021 dengan kerjasama di antara Yayasan Selangor dan KYSM yang bermatlamat untuk melahirkan pelajar cemerlang dan kompetitif dalam memenuhi pasaran pekerjaan.

Program Budi Yayasan Selangor pula merupakan program tajaan kepada murid kelahiran Selangor yang berada di 12 buah MRSM terpilih dan tajaan disalurkan sepanjang tempoh pengajian selama lima tahun bermula tingkatan satu hingga lima.

“Pelajar yang terpilih berpeluang meneruskan persekolahan di sekolah elit dengan iklim pembelajaran kondusif dan prasarana yang lebih efektif.

“Program ini diharap dapat melahirkan murid yang global, cemerlang dan kompetitif seterusnya menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dalam menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi yang akan melebihi jangkaan negara khususnya negeri Selangor,” kata yayasan tersebut dalam satu kenyataan.

Kesemua pelajar tajaan datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Tajaan Yayasan Selangor meliputi seluruh kos pembelajaran sehingga pengajian tamat.

“Pelajar-pelajar ini terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2000 sebulan.

“Penajaan program-program tersebut meliputi yuran persekolahan, yuran penginapan dan makanan, yuran pengajian, wang saku dan peranti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri Selangor turut memberi sumbangan Biasiswa Selangor Bitara bernilai RM1 juta kepada seorang penuntut Royal College of Surgeons di Ireland pada 2021.

BACA JUGA: Skim Insurans Am Selangor patuh syariah mulai April