PH, BN Selangor sepakat kekal bertanding kerusi dimenangi PRU-14

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor mencapai persetujuan masing-masing akan mempertahankan kerusi dimenangi ketika Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Perkara ini diputuskan oleh kedua-dua gabungan politik dalam satu mesyuarat rundingan pusingan kedua mengenai pengagihan kerusi PRN Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Penerangan PH Selangor, Azli Yusof yang turut serta pada mesyuarat itu berkata kesepakatan awal ini penting sebagai tanda sokongan PH Selangor terhadap kelangsungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“PH Selangor bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO/BN bagi mengekalkan kemenangan kerajaan PH di Selangor dan kali ini akan (bertukar) menjadi Kerajaan Perpaduan.

“Ia juga sebagai persediaan awal bagi jentera (PH dan BN) membuat kolaborasi dan kerjasama jentera pilihan raya di semua peringkat,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Azli yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor berkata, kerjasama dan kekuatan yang dimiliki PH dan BN juga dilihat dapat memberi kelebihan untuk berdepan PRN secara bersama.

“Kesepakatan awal ini juga penting sebagai langkah awal memaklumkan kepada pengundi-pengundi PH dan BN berkenaan kepentingan kerjasama ini dan pembentukan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa rakyat Selangor bijak menilai kesepakatan antara PH dan BN ini adalah demi meneruskan kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di negeri itu.

Terdahulu dalam mesyuarat itu, PH Selangor telah diwakili Timbalan Pengerusi PKR Selangor Borhan Aman Shah, Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han, Naib Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim, Azli serta Naib Ketua Pemuda AMANAH, Abbas Azmi.

Bagi pihak BN pula, mereka diwakili Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Johan Aziz dan beberapa pemimpin lain.

Untuk rekod, BN telah memenangi lima kerusi DUN Selangor pada PRU-14 iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Semenyih dan Sungai Burong.

BACA JUGA: Kerusi Kota Anggerik, Batu Tiga diyakini kekal milik PH