Sebarkan mesej Ramadan angkat nilai kesederhanaan, kemanusiaan – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam menyebarkan mesej bulan Ramadan yang mengangkat nilai kesederhanaan dan kemanusiaan merentasi agama, kelompok dan golongan.

Perdana Menteri berkata saranan untuk boleh dilakukan dengan menyemarakkan amal jariah dan perasaan kasih kepada golongan yang tidak berkemampuan.

“Semoga kelebihan madrasah Ramadan akan mengangkat martabat dan harakat insan dari sudut akhlak serta integriti.

“Kita sebarkan mesej bulan Ramadan yang mengangkat nilai kesederhanaan dan kemanusiaan merentasi sempadan agama, kelompok dan golongan dengan menyemarak amal jariah dan kasih kita kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Umat Islam mula menjalani ibadah puasa hari ini dengan memenuhi aktiviti amal ibadah dan kebajikan sepanjang Ramadan.

Anwar bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Islam yang kini dalam rangka lawatan rasmi di Arab Saudi mengajak umat Islam bersama-bersama berdoa sambil meningkatkan usaha mencapai berkah-Nya sepanjang bulan ini.

“Dari Tanah Suci saya dan Azizah mendoakan Malaysia akan terus makmur, sejahtera dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Ramadan Mubarak!” katanya.

Terdahulu Anwar dan Dr Azizah berserta delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selamat menunai ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.

“Alhamdulillah, saya bersama Azizah dan delegasi Malaysia selesai melaksanakan ibadah umrah sebentar tadi (semalam).

“Mendoakan kesejahteraan buat rakyat dan negara serta usaha kita menjadikan Malaysia kembali kuat dan gah diberkati-Nya, Insya-Allah,” katanya.

BACA JUGA: Malaysia main peranan aktif dalam OIC, depani isu umat Islam – PM

  (RENCANA FOTO) Wajah tenang Anwar ketika tunai umrah di Mekah