Selepas Touch ‘n Go, kerajaan hentikan pula monopoli Puspakom

Selepas kerajaan memulakan langkah menamatkan monopoli pembayaran tol melalui Touch ‘n Go (TnG), kali ini monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula akan ditamatkan sebagai pemeriksa berkala kenderaan tunggal.

Perkhidmatan itu akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Dalam kenyataan hari ini, Anthony berkata proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka akan bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

“Keputusan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat Malaysia.

“Ketetapan ini bermakna pihak Puspakom tidak lagi akan menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula pada 1 September 2024,” katanya.

Touch 'n Go

Bagi melaksanakan keputusan ini, Kementerian Pengangkutan bersama JPJ akan membangunkan syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak-pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor.

Kata Ahli Parlimen Seremban itu, MOT akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala
kepada pihak-pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor di bawah Akta 333.

“MOT sedang dalam proses memuktamadkan semua syarat-syarat permohonan/pengoperasian dan dokumen tawaran berkaitan penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala oleh pihak-pihak yang berminat.

“Justeru, proses pelawaan ini dijangka akan hanya bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

“Mana-mana pihak yang berjaya memenuhi semua syarat ditetapkan akan dipelawa dan dibenarkan beroperasi sebagai pusat pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak JPJ pada masa hadapan,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan telah memulakan usaha untuk memecahkan monopoli Touch ‘n Go dalam pembayaran tol.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui tiada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dengan sistem itu walaupun telah diguna pakai kira-kira dua dekad.

Baca juga: Penggunaan kad debit dan kredit menamatkan monopoli Touch ‘n Go

Baca juga: AMANAH Kedah tegur SOP MBAS, ‘jahanamkan’ gerai penjaja sampai kerugian