Laporan polis palsu terhadap saya dan PM kesalahan jenayah

Pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng mengingatkan ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal bahawa perbuatan Fayshal membuat laporan polis palsu terhadap dirinya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Anwar bercakap benar apabila dia berkata rekod dengan Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa sebagai Menteri Kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, saya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Ini disokong oleh kegagalan Muhyiddin menunjukkan bukti atau mengemukakan surat pembatalan daripada saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan,” kata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan pada satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada tindakan Wan Fayshal yang membuat laporan polis terhadap Anwar dan dirinya ekoran dari penjelasan Anwar berkaitan kuasa pengecualian cukai adalah kuasa ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri dan bukannya menteri atau perdana menteri. Wan Fayshal mendakwa bahawa Anwar mengelirukan Dewan Rakyat.

Lim menyatakan tindakan Wan Fayshal yang merupakan Ahli Parlimen Machang menunjukkan bahawa pemimpin Bersatu jahil dalam perkara percukaian.

Saya tidak melihat fail Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan dan tidak berada dalam kedudukan untuk memutuskan sebarang rayuan kerana tiada satupun dibuat oleh Yayasan Albukhary kepada saya.

“Jelas sekali tiada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan. Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang pembatalan sama sekali terhadap status pengecualian cukai Yayasan Albukhary seperti yang didakwa Muhyiddin.

“Jika ada pembatalan sedemikian, maka ia hanya boleh dilakukan semasa tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata Lim.

Sebaliknya, menurut Lim, Wan Fayhsal perlu memujuk Muhyiddin untuk menunjukkan surat pembatalan sendiri kepada Yayasan Albukhary. Jika Muhyiddin gagal berbuat demikian, maka kedua-dua Muhyiddin dan Wan Fayhsal membuat dakwaan kosong yang tidak berasas dan palsu.

Lim turut membidas Wan Fayshal perbuatan pemimpin Bersatu itu menunjukkan dia jahil berkenaan sesi parlimen.

“Wan Fayhsal salah kerana cuba membawa polis ke prosiding parlimen. Jelas sekali beliau sama ada tidak menghormati atau memahami prinsip keluhuran parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

“Polis atau mana-mana cawangan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menceroboh atau menyiasat perkara yang dibincangkan di parlimen. Perkara parlimen hanya boleh diputuskan oleh parlimen dan jika ahli parlimen berbuat sebaliknya menunjukkan dia tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat,” kata Lim.

Lim sudahpun membuat laporan polis terhadap presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin berkenaan tuduhan beliau dalam isu Yayasan Albukhary.

BACA JUGA: PM: Bagan tidak batalkan pengecualian Yayasan Albukhary