Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi seluruh negara

Bazar Ramadan Rahmah (BRR) merupakan inisiatif terbaharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membabitkan 38 lokasi di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, BRR diwujudkan bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk masyarakat berbuka puasa dengan harga yang murah dan berpatutan.

“Ini termasuklah dengan menggalakkan peniaga menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu Rahmah.

“Sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuk satu lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam menyantuni rakyat di sekitar Putrajaya.

“Inisiatif ini dilaksanakan secara kerjasama strategik antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Salahuddin melancarkan BRR Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan RAHMAH Presint 14, Putrajaya yang turut dihadiri Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam.

Antara BRR yang boleh dikunjungi adalah Bazar Ramadan Food Truck Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur; Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang; Bazar Ramadan People Walk Ipoh, Perak; dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang, Terengganu.

Pengunjung bazar juga boleh mengunjungi gerai yang terdapat pelekat ‘Menu Rahmah’ bagi mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan.

BACA JUGA Tayar Rahmah RM5 pun ada, usaha kerajaan bantu rakyat B40 terus jadi ikutan