Orang Melayu semakin terpinggir? Dr Taufiq bidas Dr Mahathir
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari membidas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed yang mendakwa orang Melayu semakin terpinggir di bawah Kerajaan Perpaduan memandangkan nasib orang Melayu tidak dibela dan disia-siakan ketika pentadbirannya.
“Tun Mahathir diberikan peluang dan kesempatan selama 22 tahun (Mahathir PM4), 22 (Mahathir PM7) bulan untuk mengangkat martabat dan darjat bangsa Melayu tetapi beliau telah mensia-siakan waktu yang cukup lama itu.
“Kerajaan kini tidak pernah meminggirkan hak bumiputera, jauh sekali untuk menidakkan kaum Melayu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.
Taufiq berkata demikian ketika diminta untuk mengulas berkenaan dengan kenyataan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) yang mendakwa orang Melayu terpinggir.
Pada 27 Februari lalu, Mahathir dalam satu kenyataan mendakwa orang Melayu semakin miskin sejak beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri dan perlu menentang Kerajaan Perpaduan. Mahathir turut mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkhianati perlembagaan negara ekoran pembatalan Proklamasi Himpunan Melayu,19 Mac lalu.
Jelasnya, sejak Kerajaan Perpaduan mengambil tampuk pemerintahan empat bulan lalu, ia menunjukkan komitmen dalam mengutamakan nasib rakyat.
“Buktinya, pada pembentangan belanjawan 2023 (23 Februari), Kerajaan Madani tidak fokus pada projek mega pencakar langit, tetapi lebih memperhatikan kebajikan rakyat B40, peniaga-peniaga kecil dan golongan marhaen.
“Kita berbicara mengenai rakyat marhaen berbilang kaum tanpa meminggirkan hak keistimewaan orang melayu yang termaktub dalam perlembagaan. Kita juga melibatkan pengagihan kekayaan oleh golongan atasan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sebagai negarawan, Mahathir perlu meneliti dan memberi fakta tepat masalah orang Melayu seperti yang didakwanya.
“Jika benar Melayu hilang segalanya, sila nyatakan apa dan di mana hak orang Melayu dipinggirkan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Cukuplah retorik yang dibawa oleh Tun. Orang Melayu adalah bangsa yang perlu diangkat martabatnya, bukan ditunggang sebagai alat politik. Sekarang masanya fokus bekerja untuk rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam hal yang berkaitan, bekas presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu juga memberi masa selama tujuh hari kepada Anwar untuk menarik balik tuduhan yang dilemparkan ke atasnya melalui satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Ia ekoran kenyataan Anwar di Kongres Nasional Khas PKR yang berlangsung pada 18 Mac.
BACA JUGA: Dr Mahathir dakwa orang Melayu hilang segalanya lepas dia letak jawatan PM