Dr Mahathir dakwa orang Melayu hilang segalanya lepas dia letak jawatan PM

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu kehilangan segala-galanya berlaku selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri ketujuh berkata sememangnya orang Melayu menjadi miskin selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Saya berusaha memulihkan keadaan orang Melayu apabila jadi Perdana Menteri selepas PRU-14. Tetapi Kerajaan PH dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dr Mahathir yang kini merupakan Penasihat PUTRA berkata beliau menyertai usaha untuk menyedar orang Melayu akan masalah mereka dengan pelancaran proklamasi Melayu.

“Isi kandungan proklamasi ini menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan UMNO,” katanya.

Beliau mendakwa penghalangan pelancaran proklamasi itu bermakna kerajaan pimpinan Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan UMNO.

Dr Mahathir menuduh UMNO tidak lagi berpegang kepada matlamat penubuhannya apabila tidak membantah usaha menghalang proklamasi Melayu itu.

Justeru itu, beliau memberikan alasan perkara menjadi sebab ‘puak lain’ perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan bumiputera lain.

Dr Mahathir turut mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bukti bahawa “saya telah membolot, untuk keluarha saya dan anak-anak saya.”

Terdahulu Anwar ketika menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa orang Melayu telah hilang segalanya menyatakan “ada orang dulu, 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham”.

“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu. Untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat.”

Untuk rekod selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 2003, beliau telah diganti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum diambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009.

Selepas pilihan raya umum 2018 , Dr Mahahthir dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas PH berjaya mengalahkan BN buat kali pertama selepas 60 tahun memerintah.

22 tahun daripada pemerintahan BN adalah adalah di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Dr Mahathir sebelum ini turut menyalahkan Abdullah dan Najib kerana gagal mencapai Wawasan 2020 yang beliau lancarkan pada 1991.

Beliau yang memimpin Gerakan Tanah Air (GTA) tewas hingga hilang deposit apabila gagal mempertahankan kerusi Langkawi dalam PRU-15 yang ditandingi atas tiket Pejuang.

Pejuang yang bertanding di 121 kerusi tewas semuanya. Selepas itu Dr Mahathir bertindak keluar Pejuang sebelum menyertai PUTRA yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali.

Pejuang yang dipimpin anak lelakinya Datuk Mukhriz kemudian memohon menyertai Perikatan Nasional (PN) tetapi telah ditolak oleh pemimpin gabungan itu termasuk Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

BACA JUGA: Pak Lah, Najib punca Wawasan 2020 gagal atau salah Tun M sendiri? – Kit Siang