Patuhi larangan aktiviti politik di masjid dan surau
Ahli politik Selangor diminta untuk terus mematuhi larangan mengadakan aktiviti berbaur politik di masjid dan surau di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah peringatan yang perlu diberikan perhatian oleh seluruh rakyat terutama bagi ahli-ahli politik di Selangor.
“Semua rakyat Selangor di peringkat pimpinan parti politik kena faham dan tahu bahawa (larangan) ini adalah arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
“Saya rasa semua orang termasuk ahli politik kena akur dengan segala titah perintah Tuanku,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.
Pada 13 Mac lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.
Pada masa sama, baginda mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk terus mengeluarkan arahan dan semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.
Halimey berkata orang ramai juga perlu tahu kepentingan masjid sebagai rumah ibadah tidak seharusnya dicemari dengan budaya fitnah, hasutan dan kempen-kempen politik.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir nazir dan imam yang masih membenarkan ceramah berunsur politik diadakan di masjid serta surau di negeri ini.
“Setiap masjid dan surau kena faham bahawa orang-orang politik terutama daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri akur dengan perintah Tuanku.
“Inikan pula pimpinan-pimpinan parti politik yang lain (termasuk PN) pun kena akur sama termasuk juga penceramah-penceramah lain yang tiada tauliah,” katanya.
Katanya, pentauliahan untuk penceramah agama amat penting bagi memastikan seseorang itu tidak mengambil kesempatan menjadikan platform ceramah itu sebagai medan hasutan agenda jahat ataupun propaganda politik.
Beliau turut mengingatkan dirinya sendiri termasuk semua ahli politik lain untuk tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.
“Saya sendiri pun dijemput untuk bagi ucapan dalam masjid atau surau tetapi saya menolak atas dasar saya hormati atas titah Tuanku,” ujarnya.
Selain Selangor, beberapa sultan negeri lain turut sama menegah ucapan politik di masjid dan surau.
BACA JUGA: Orang politik jangan jadikan masjid pentas ceramah, kempen – Sultan Selangor
Â