Orang politik jangan jadikan masjid pentas ceramah, kempen – Sultan Selangor

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini, Sultan Selangor menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) secara berterusan mengeluarkan arahan agar umat Islam khususnya orang politik tidak menjadikan masjid dan surau sebagai pentas berceramah serta kempen.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling menghormati satu sama lain.

“Ingatlah, tingkah lalu orang politik semasa tempoh kempen disaksi dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan,” titah baginda dalam istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan seluruh wakil rakyat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

“Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan MAIS dan JAIS agar memastikan masjid dan surau bebas daripada segala unsur politik yang boleh memecahkanbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Ialam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannnya.

Titah baginda perkara itu berlaku lantaran terdapat penceramah tertentu telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

“Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecah belah umat Islam khususnya orang Melayu,” titah baginda,

Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, baginda menitahkan bahawa mereka yang berkelayakan dan mempunyai tauliah sahaja dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau mana-mana tempat di negeri Selangor.

“Sekali lagi beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar mahir dan mempunyai pengalaman yang luas mengenai Islam layak diberikan tauliah mengajar bagi mengelak anasir ajaran sesat serta budaya memfitnah berlaku,” titah baginda.

BACA JUGA: Sultan Selangor saran rakyat dapatkan manfaat 46 program kebajikan negeri