Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin diteruskan di lapan DUN

Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang mendapat sambutan hangat diteruskan lagi di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Menurut Facebook rasmi Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin, DUN yang terlibat pada hujung minggu lalu adalah Chennah, Palong, Senaling, Chembong, Bagan Pinang, Temiang, Seremban Jaya dan Repah.

Katanya, di DUN Chennah telah diadakan di Padang Futsal Kampung Sungai Buloh; DUN Palong di Tapak Pasar Tani Palong 4-5-6; DUN Senaling diadakan berhadapan kedai Tomyam Langkasuka, Taman Selasih dan DUN Chembong diadakan di depan gerai Majlis Daerah Rembau (MDR), Taman Chembong Utama.

“Di DUN Bagan Pinang pula diadakan di depan Pusat Khidmat Bagan Pinang; DUN Temiang di Balai Raya Kampung Bukit Temiang; DUN Seremban Jaya di depan lot kedai Taman Ampuan Najihah dan DUN Repah: Pusat Khidmat DUN Repah,” maklum pentadbir di media sosial itu.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memaklumkan, antara barangan yang dijual adalah ayam, telur, minyak masak dan sayur-sayuran pada paras harga yang lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Ia termasuk harga ayam yang dijual pada kadar RM13 seekor, manakala untuk minyak masak paket berharga RM2 per kilogram.

“Program ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang terus menghimpit rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat dalam waktu yang sukar ini, InsyaAllah,” tulis pentadbir laman itu lagi.

Tahun ini, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun memutuskan untuk meneruskan lagi inisiatif berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Atas kesudian syarikat-syarikat yang memasarkan produk mereka dengan harga ladang, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak terlibat yang turut serta dalam program tersebut.

BACA JUGA Jualan Ramadan Madani Negeri Sembilan melegakan masyarakat