‘Surat setuju terima pun belum keluar’ – Mat Sabu jawab Sanusi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tampil menjawab dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi kononnya majlis melibatkan Menteri Besar itu ‘diganggu’.
Dakwanya, kelulusan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor yang sepatutnya jadi tapak lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar pada 9 April depan, ditarik balik.
Justeru, Mohamad yang juga Presiden AMANAH menyifatkan dakwaan pemimpin Pas itu sebagai menghairankan.
“Pelik juga saya bila MB Kedah kata – kelulusan sewaan dewan telah ditarik balik oleh KPKM sedangkan Pengurusan Dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima. Sebutharga pun belum keluar,” katanya.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau turut menasihatkan Sanusi supaya tidak berkongsi maklumat yang belum dipastikan sahih.
“Lagi satu, macam mana MB boleh sebarkan dulu poster program sebelum lokasi telah disahkan sudah dapat? Biasanya dah pasti baru kongsi,” ujarnya.
Terdahulu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat mendakwa kelulusan Dewan A, MAEPS, Serdang di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk program anak Kedah di perantauan ditarik balik.
“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun malah dewan tersebut kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa.
“‘Awat’ sampai jadi ‘lagu’ (macam) tu? Kedah kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara?” katanya.
Dakwaan ‘gangguan’ terhadapnya itu selepas kononnya dia juga dihalang oleh hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu Sanusi bahawa tiada sebarang masalah terhadap program di MAEPS yang berkaitan negeri pembangkang.
“Oleh kerana YAB dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain – kami kira tak jadilah noo,” usiknya lagi.
BACA JUGA Dakwa dihalang hadiri majlis: Zahid saran MB Kedah sebar ‘arahan’