Surat minta Wadi Annuar mohon tauliah telah dikemuka sejak 2019 lagi – AJK Fatwa Perlis

Pada semalam, pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar mendakwa beliau tidak pernah dipelawa bagi sebarang permohonan tauliah di Perlis seperti yang dilapor media sebelum ini.

Menjawab hal itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Dr Rozaime Ramle, tampil mengemukakan bukti berupa surat sulit bertarikh 3 Julai 2019, yang meminta agar Ustaz Wadi memohon tauliah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

“Setelah bertanya kepada pihak JAIPs, mereka akui telah menjemput Ustaz Wadi untuk memohon tauliah sejak 2019 lagi. Lihat tarikh surat di dalam gambar ini.

“Surat ini sulit tetapi Ustaz Ahmad Husam Baderudin telah memuat naik di Facebook beliau (pada 2019),” tulis Dr Rozaime.

Isi kandungan surat yang didedahkan itu berbunyi; “pihak tuan hendaklah mengemukakan permohonan kebenaran mengajar agama di dalam negeri Perlis secara one-off kepada Jabatan Mufti Negeri Perlis 14 hari bekerja dari tarikh program yang dirancang bagi membolehkan tuan menyampaikan program kuliah agama…,”.

Surat itu dikemukakan kepada Ustaz Wadi pada 3 Julai 2019 selepas mendapati penceramah itu akan terlibat dengan program Kuliah Maghrib Perdana di kompleks Pendidikan MATIN, Perlis pada 7 Julai 2019.

Wadi Annuar

Menerusi pendedahan surat tersebut, Dr Rozaime menerusi laman Facebook miliknya hari ini bertanya, adakah Ustaz Wadi menipu lalu menafikan bahawa JAIPs pernah menjemputnya untuk memohon tauliah.

“Atau adakah Ustaz Wadi pelupa dan dia perlu tarik balik kenyataan media dia yang separuh masak ini? Lupa itu biasa kerana ada saja orang yang kata “saya baca tapi lupa”.

“Atau adakah Husam dapat surat ini lalu tidak bagi Ustaz Wadi surat ini? Bak kata orang: Member buka surat member lepas itu sorokkannya dan buat diam?,” soalnya.

Dr Rozaime berkata, jika benar andaiannya tentang soalan terakhir itu, Ustaz Wadi perlu meminta surat tersebut dari Husam.

Beliau juga menyarankan Ustaz Wadi menjawab segala persoalan berbangkit supaya dapat meleraikan kekeliruan dalam kalangan pengikutnya dan orang ramai.

Pada 30 Mac, Ustaz Wadi didakwa mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang.

Menurutnya, dia dimaklumkan penganjur bahawa program tersebut bukanlah majlis pengajian agama dan ia hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat.

Dalam kenyataan medianya semalam, Ustaz Wadi juga mendakwa tidak pernah dipelawa untuk memohon tauliah melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam Negeri Perlis seperti yang dinyatakan dalam sebahagian laporan akhbar.

Pada 22 Mac lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar pihak berkuasa agama dapat memantau dan memastikan agar setiap penceramah mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti negeri.

Baca juga: Wadi Annuar akan dipanggil JAIPs kerana ceramah tanpa tauliah