‘Jika MP berani ulang tuduhan dibuat Pagoh, tindakan akan diambil’ – Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengambil peluang dalam perbahasannya pagi ini untuk menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Menurutnya, pembatalan pengecualian cukai kepada yayasan dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary itu tidak pernah berlaku semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

Sebaliknya, kata beliau, pembatalan itu berlaku selepas pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan meminta blok pembangkang untuk bertanya terus hal itu kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang lebih mengetahui akan hal tersebut.

“Kalau tidak ada rayuan, macam mana perkara ini boleh berlaku? Apa yang dinyatakan pihak pembangkang adalah tidak benar sama sekali.

“Kita tahu bahawa pembatalan pengecualian cukai tidak berlaku semasa pentadbiran PH di bawah kementerian saya (terajui).

“Ini berlaku selepasnya. Kalau nak tanya, tanyalah YB Pagoh. Apabila beliau membuat dakwaan tidak berasas ini, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen berani mengulangi dakwaan sama kerana ia memang tidak benar.

“Kalau berani mengulangnya di luar, tindakan seterusnya akan dijalankan. Oleh sebab itu jangan pertikaikan kebijaksanaan dan juga kuasa yang diberikan oleh Menteri Kewangan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kewangan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng yang juga Pengerusi DAP memberitahu, beliau ketika menerajui kementerian terbabit tahu batas-batas kuasa yang ada padanya.

“Kita tahu, kita arif apakah kuasa yang ada, apakah kuasa yang tidak ada. Kalau tidak ada kuasa sedemikian, jangan persalahkan Menteri Kewangan atau Perdana Menteri. Kita ikut kuasa, kita patuh kepada fasal-fasal yang dalam akta pendapatan cukai.

“Kita tidak akan menyalahgunakan kuasa seperti mana yang dilakukan pihak pembangkang,” tegasnya lagi.

BACA JUGA PM: Bagan tidak batalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary