19 memorandum persefahaman dengan China bukan sekadar perjanjian atas kertas

Sejumlah 19 memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China bukan sekadar perjanjian di atas kertas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau dan Perdana Menteri China Li Qiang telah memilih syarikat yang mempunyai komitmen untuk melaksanakan pelaburan di dalam negara sekurang-kurangnya pada penghujung tahun ini.

“(MOU kali ini) berbeda daripada MOU biasa. Perdana Menteri Li Qiang dan saya memutuskan supaya tidak melayani MOU (yang tiada perancangan khusus untuk melabur). Ada sembilan cadangan lain yang tidak diterima kerana tidak ada perancangan khusus (dari segi) pelaksanaannya mulai tahun ini atau selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Jadi yang diputuskan ini adalah syarikat-syarikat yang terpilih, di mana ia dipantau oleh kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan China di bawah pengawasan Perdana Menteri.

“…(Syarikat-syarikat) ini akan melaksanakan pelaburan mereka akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang bertanya keyakinan perdana menteri bahawa kesemua 19 MOU yang dimeterai akan diterjemah kepada pelaburan sebenar yang boleh direalisasikan.

Beliau juga menjangkakan pelaksanaan pelaburan itu akan jauh lebih baik kerana Malaysia tidak menandatangani MOU dengan syarikat yang hanya mengumumkan minat untuk pelaburan namun tidak berbuat demikian.

Jawatankuasa pemantau dalam pertimbangan

Sementara itu Anwar turut menambah bahawa Li telah bersetuju bahawa kesemua pelaburan ini akan mengutamakan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan penubuhan jawatankuasa baharu untuk memantau pelaporan dari China ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang)

Beliau katanya akan membincangkan hal itu dalam mesyuarat jemaah menteri esok, termasuk langkah-langkah susulan yang perlu diambil.

“Memang kita akan bincang dalam mesyuarat jemaah menteri besok dan langkah-langkah susulan sama ada harus ada jawatankuasa khas atau tidak, akan juga kita putuskan esok

“Tapi setakat ini, projek ini dipantau oleh MITI, yang saya rasa mampu mengendalikan kerana persiapan dibuat oleh Kementerian Luar, MITI dan pegawai-pegawai sangat memuaskan yang menyebabkan kita dapat mencapai prestasi yang diharapkan,” katanya.

MITI ialah singkatan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam Bahasa Inggeris.

BACA JUGA: PM Anwar bertemu Presiden China Xi Jinping