Sumbangan tunai, sejadah kanak-kanak untuk Surau Taman Purba Ampangan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek terus memberi pelbagai bentuk sumbangan sepanjang Ramadan ini termasuk wang tunai kepada Surau Taman Purba di Ampangan.

Katanya, pihaknya telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada wakil surau bagi urusan madrasah selain RM300 untuk moreh dan lima kit pengurusan jenazah.

“Di samping itu, setiap jemaah yang hadir pada malam ini, sama ada jemaah lelaki, wanita dan mahu pun kanak-kanak, telah menerima sehelai sejadah setiap seorang sebagai cenderahati.

“Kita perlu memanafaatkan ketibaan Ramadan dengan amal ibadat. Pelbagai peristiwa bersejarah telah berlaku dalam bulan Ramadan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.

Sumbangan tersebut disampaikan beliau pada malam tadi, iaitu malam ke-13 Ramadan apabila Mohamad Rafie yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Sembilan, menunaikan solat Isyak dan tarawih di surau berkenaan.

Sehari sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan yang sama kepada Surau Taman Bougainvillea, yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: PN tiada kekuatan luar biasa