Menara KL: Pengarah didakwa beri rasuah RM500,000 untuk Annuar Musa

Pengarah syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak didakwa memberikan rasuah RM500,000 kepada seorang datuk bagi faedah seorang bekas menteri dalam pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 16(b)(B) dan 24(1) Akta SPRM Akta 2009 dengan dakwaan cuba memberikan rasuah kepada Tan Sri Annuar Musa melalui Datuk Tan Ser Lay antara Julai dan Ogos tahun 2022 di ibu pejabat Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu.

Beliau didakwa menawarkan rasuah RM500,000 setahun  selama 15 tahun kepada Annuar Musa untuk mempercepatkan kelulusan pembelian konsesi Menara KL itu.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku salah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Pertuduhan dibacakan di depan Hakim Suzana Husin yang kemudiannya memerintah dia dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dan memerintahkan beliau melapur diri setiap dua bulan kepada SPRM manakala pasport beliau ditahan oleh Mahkamah.

7 Januari lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman selama empat hari kepada dua pengarah terlibat dalam skandal pengambilalihan Menara Kuala Lumpur.

Datuk Abdul Hamid Shaikh bin Abdul Razak Shaikh Pengarah Hydroshoppe dan Datuk Tan Ser Lay Ahli Lembaga Pengarah bebas bukan eksekutif MyCreative Ventures dikenakan reman selama empat hari hingga 10 Januari ini

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Penahanan Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd dan MyCreative Ventures oleh SPRM itu dijangka akan mendedahkan bagaimana syarikat pengurusan Menara KL boleh terjual kepada sebuah syarikat kosmetik.

Ini kerana, kedua-duanya dipercayai terlibat secara langsung dalam penjualan Menara KL Sdn Bhd dari TM Malaysia kepada Hydroshoppe.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil mengesahkan saham syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur, Menara KL Sdn Bhd telah dijual oleh TM Malaysia (TM) kepada sebuah syarikat kosmetik.

 

BACA JUGA Syarikat penerima konsesi Menara KL ditentukan kerajaan, dakwa TM

JUGA Menara KL: SPRM sudah panggil 3 saksi, ambil dokumen