Hanya tumpu agihan kerusi, belum bincang calon MB
Calon Menteri Besar pada pilihan raya negeri (PRN) tidak pernah dibincangkan lagi oleh barisan kepemimpinan parti setakat ini, kata Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
Menurutnya, hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh membuat keputusan siapa calon Menteri Besar negeri yang dimenangi parti itu.
“Mengenai calon Menteri Besar, itu kena tanya presiden dan ia tidak dibincangkan lagi,” dipetik BH.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu memberitahu senarai calon juga masih belum dibincangkan.
Jelasnya, perbincangan sebelum ini hanya menumpukan pengagihan kerusi pilihan raya.
“Senarai calon masih belum sampai tahap perbincangan, sekarang kita bincang tentang pembahagian kerusi sahaja,” katanya.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan menampilkan calon ‘poster boy’ untuk jawatan Menteri Besar di Negeri Sembilan dan Selangor.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia antara strategi PN untuk merampas dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu pada PRN nanti.
Walau bagaimanapun, Pengerusi PN Kedah itu tidak memperincikan sama ada calon ‘poster boy’ itu daripada Pas, Bersatu atau Gerakan.
BACA JUGA Calon MB Kedah, Kelantan, Terengganu dari Umno sekiranya menang PRN