Masjid seluruh WP, Selangor buat solat hajat, selamatkan rakyat Palestin

Seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan akan melakukan solat hajat malam ini bagi mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin ekoran tindakan ganas pasukan keselamatan Israel ke atas jemaah di Masjid al-Aqsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar berkata masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya telah diarah untuk melaksanakan solat hajat selepas Isyak malam ini.

“Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk melaksanakan solat hajat pada tarikh yang sama.

“Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Na’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis Israel yang menyerang dan menggunakan kekerasan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa pada Rabu sehingga menyebabkan kecederaan awam.

“Tindakan polis Israel yang menceroboh Masjid Al-Aqsa adalah biadab serta amat tidak bertanggungjawab. Malah tindakan tersebut berulang setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia mengutuk tindakan Israel termasuk menggesa agar serangan dan kekerasan ke atas jemaah Al-Aqsa ini dihentikan,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor turut menyeru umat Islam di negeri itu untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok untuk mendoakan keselamatan kepada rakyat Palestin yang berterusan diasak dengan tindakan keganasan rejim Israel.

“Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya kekerasan oleh Israel sehingga menyebabkan kecederaan kepada sekurang-kurangnya 12 rakyat serta menahan lebih 350 rakyat Palestin,” kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin menyeru semua masjid dan surau di Selangor mengadakan solat hajat selepas Jumaat esok bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Ini berikutan tindakan polis Israel menyerang dan menangkap lebih 400 jemaah Palestin dalam serbuan ganas di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Amirudin menerusi satu kenyataan berkata tindakan keganasan tersebut kerap berulang terutama pada bulan Ramadan sama seperti pada April tahun lalu.

“Tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan ini diaturkan ketika jemaah Palestin menunaikan solat di Masjid Al Aqsa pada hari Rabu yang lepas.

Katanya tindakan provokasi itu menyalahi undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia terutamanya pada bulan yang penuh mustajab ini.

“Sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan ini, seluruh masjid dan surau di negeri Selangor akan melaksanakan solat hajat seusai solat Jumaat minggu ini untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bagi warga Palestin agar Allah SWT melindungi mereka.

“Kerajaan Selangor menyatakan solidariti bersama warga Palestin dan mengajak pemimpin seluruh dunia untuk bersama-sama mengutuk dan mengecam serangan ke atas rumah ibadat tersebut,” katanya.

Terdahulu, saksi Palestin berkata, polis Israel menggunakan kekerasan apabila mereka mula melempar bom tangan dan gas pemedih mata ke arah para jemaah yang sedang menunaikan solat dan bertadarus al-Quran.

Serbuan berterusan sehingga pagi Rabu apabila tentera Israel sekali lagi dilihat menyerang dan menolak penduduk Palestin keluar dari perkarangan masjid dan menghalang mereka daripada solat, sebelum orang Israel dibenarkan masuk di bawah perlindungan polis.

BACA JUGA: Kerajaan Malaysia kecam keras pencerobohan askar Israel bunuh rakyat Palestin