Kerajaan Malaysia kecam keras pencerobohan askar Israel bunuh rakyat Palestin

Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas askar rejim Zionis Israel yang menyerbu kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat dan membunuh sembilan rakyat Palestin baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua pemimpin dunia mengecam pembunuhan terang-terangan terhadap rakyat Palestin yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel tersebut.

Beliau turut membuat seruan agar masyarakat antarabangsa menuntut rejim Israel bertanggungjawab terhadap semua jenayah yang dicetuskannya dan menuntut negara Zionis itu menghentikan serta-merta tindakan kekejaman.

“Malaysia merakamkan rasa simpati, takziah dan mendoakan kepada keluarga rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera kerana pencerobohan Israel ketika pencerobohan di kem pelarian Jenin baru-baru ini.

“Malaysia terus berdiri bersolidariti dengan rakyat Palestin. Kami mengesahkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin untuk mencapai kebebasan daripada pendudukan haram Israel dan merealisasikan aspirasi mereka untuk merdeka dan berdaulat,” kata Anwar dalam kenyataan.

Pencerobohan di kem pelarian Jenin adalah siri keganasan terbaharu rejim Israel di bawah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang terkenal enggan mematuhi nilai nilai kemanusiaan antarabangsa.

BACA JUGA Beri peluang parti lain tadbir Kelantan