Selangor kekal di tangan PH, prestasi cemerlang tiga penggal jadi sandaran
Selangor diyakini kekal milik Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini susulan prestasi cemerlang selama tiga penggal dengan pelbagai pakej disediakan dalam membantu rakyat terutama golongan B40.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata aliran sokongan kepada PH juga dapat dikekalkan melalui kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi saingan dengan Perikatan Nasional (PN) terutama Pas yang merupakan bekas sekutu gabungan itu sebelum ini.
Beliau melahirkan keyakinan PH mempunyai harapan yang amat cerah untuk mempertahankan Selangor kerana berpengalaman mentadbir negeri itu sejak 2008 jika hendak dibandingkan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Secara umumnya saya dapati bahawa prestasi kerajaan PH di negeri Selangor agak memuaskan dan cemerlang di mana banyak dasar dan pakej disediakan untuk membantu rakyat.
“Boleh dilihat bahawa dasar membantu rakyat terutama kepada golongan B40 diterus dan diamalkan, malah banyak bantuan-bantuan ini yang tiada pada negeri-negeri lain seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya kepada Harapan Daily ketika diwawancara, baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun Pas mempunyai sedikit kekuatan kerana pernah bersama dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor suatu masa dahulu tetapi pendirian parti itu adalah jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan yang ada sekarang ini.
“Sokongan yang ada pada ketika itu tidak seperti mana sekarang iaitu mereka (Pas) telah menjadi satu parti yang begitu eksklusif dan tidak mampu untuk menyatupadukan rakyat.
“Kalau dilihat pada prestasi pada PRU15, walaupun Pas telah menang di beberapa kerusi Parlimen tetapi hakikatnya sokongan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu hampir tiada.
“Malah mereka (Pas) hanya mendapatkan sokongan daripada masyarakat Melayu atas dasar fitnah dan pembohongan,” katanya.
Sementara itu, mengenai sentimen yang akan dimainkan oleh PN menjelang PRN, Khalid berkata sikap pimpinan Pas yang ‘menunggang’ agama akan menyebabkan mengapa parti itu tidak disukai oleh rakyat di Selangor.
“Rakyat perlu difahamkan bahawa pilihan raya ini bukan soal hendak pilih agama tetapi adalah untuk memilih pengurusan dan golongan yang akan mentadbir negeri.
“Pas akan memberikan gambaran bahawa pilihan raya ini adalah untuk memilih agama dan sekiranya tidak memilih mereka ianya adalah sama seperti memilih agama selain daripada Islam.
“Ini ditambah dengan propaganda bahawa sokong PN maknanya sokong Islam, tolak PN maknanya tolak Islam,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya PH boleh memperjelaskan perkara ini dengan membanding-bandingkan antara pentadbiran negeri PH, sokongan yang lebih akan diperoleh di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
PH mahu memastikan terus menguasai Selangor bagi penggal keempat dan kembali diberi mandat di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selain turut meletakkan sasaran untuk merampas Kedah daripada PN.
Bagi Kelantan dan Terengganu pula, PH menyasarkan untuk muncul sebagai pembangkang yang kuat namun tidak mustahil membuat kejutan menumpaskan Pas di negeri Cik Siti Wan Kembang yang sudah menguasai negeri itu sejak tahun 1990.
BACA JUGA: Senjata dan peluru PN sudah tumpul, PH mampu pertahan tiga negeri – AMANAH
Â