Apa makna surat menteri kepada peguam?

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang melaksanakan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama iaitu Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman (Judisiari).

Bagi membolehkan negara berjalan dengan baik, masing-masing pihak perlu menghormati doktrin ini dengan sepenuhnya.

Inilah asas pokok yang perlu dipegang dalam menilai apa yang berlaku ke atas surat yang ditulis oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Intitusi, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada peguam Datuk Seri Najib Razak, Tetuan Shafee & Co.

Dalam surat itu, Azalina dilaporkan menulis, siasatan SPRM ke atas Datuk Nazlan menyimpulkan hakim yang mengendalikan kes Najib itu melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengendalikan kes SRC International.

Azalina berkata perkara itu berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari yang dipanjangkan oleh suruhanjaya itu kepadanya.

Surat Azalina kepada peguam Najib menimbulkan perbahasan hangat di kalangan pelbagai pihak.

Namun hari ini, selepas diserang kiri dan kanan, Azalina menjelaskan hanya badan kehakiman yang berhak menentukan hakim itu melanggar etika atau tidak.

Kata Azalina, Kerajaan Persekutuan mematuhi prinsip doktrin pemisahan kuasa antara cabang-cabang utama negara ini.

Akibat laporan media tentang surat Azalina kepada peguam Najib itu, timbul kekecohan, apakah makna surat yang dihantar Azalina itu.

Adakah surat dari Menteri Undang-undang itu lebih berkuasa dari badan kehakiman dalam doktrin pemisahan kuasa ini.

Atau surat dari menteri itu sama tarafnya dengan intitusi kehakiman sehingga ia melangkaui kuasa kepada badan kehakiman untuk menilai apakah Hakim Nazlan bercanggah kepentingan sehingga melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Jika surat itu benar-benar berkuasa, bermakna segala keputusan di mahkamah yang membebaskan Nazlan dari sebarang salah laku baru-baru ini adalah sia-sia belaka.

Benarlah kata Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) bahawa SPRM tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang hakim itu telah melanggar Kod Etika Kehakiman.

Sebarang dakwaan berkaitan perlanggaran Kod Etika Kehakiman perlu diuruskan secara dalaman dan melalui prosedur yang ditetapkan dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Kanun, Dr Zulqarnain Lukman.

Benarlah juga nasihat beliau bahawa, jika ada pihak yang mempunyai bukti berkaitan salah laku seseorang hakim dalam institusi kehakiman untuk menggunakan saluran yang betul bagi membuat aduan dan seterusnya sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menubuhkan satu tribunal di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Kita yakin, selepas menyedari kekhilafan itulah, Azalina telah membetulkan apa yang berlaku dengan berkata, hanya badan kehakiman yang berhak menentukan hakim itu melanggar etika atau tidak.

Jadi, kita berharap, mana-man pihak lain, tidak lagi memanaskan suasana dan akur dengan sistem yang kita pakai ini walaupun kita sangat sayang kepada mana-mana pemimpin.

 

BACA JUGA Siasatan ke atas Hakim Nazlan Ghazali bawah bidangkuasa kehakiman

JUGA Eksekutif jangan buat kesimpulan mudah siasatan SPRM terhadap hakim – KANUN