Rezeki Syawal, giliran pekebun kecil getah pula bakal terima RM200

Menjelang Syawal ini, pekebun kecil getah pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM200 setiap seorang mulai minggu depan.

Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM63.75 juta yang akan disalur menerusi RISDA mulai 17 April.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BKKA adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 membabitkan 850,000 orang pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, BKKA akan memanfaatkan 318,642 pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Bantuan ini bertujuan meringankan bebanan kewangan dan memberi keceriaan kepada golongan pekebun kecil getah bai memenuhi keperluan sempena sambutan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penerima BKKA secara umumnya adalah penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2022.

Tambahnya, bayaran BKKA yang disasar kepada pekebun kecil getah dengan keluasan kebun kurang 2.5 hektar itu akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima seperti yang didaftar dengan RISDA.

Pemohon boleh menyemak status bayaran melalui laman sesawang bmt.risda.gov.my.

BACA JUGA Pesawah, nelayan dapat Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 10 April ini