Alumni pengajian Al-Azhar jadi kubu pertahanan akidah Islam – PM Anwar

Ketika terdapat ancaman elemen takfiri yang berterusan dibenihkan oleh sebuah parti politik berjenama Islam, penegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar golongan alumni Al-Azhar jadi kubu pertahanan akidah umat Islam memang tepat pada masanya.

Perdana Menteri berkata beliau percaya tradisi keilmuan dan khazanah dari gedung ilmu Al-Azhar memberikan sumbangan besar kepada fikrah Islam yang dipelopori alumni pusat pengajian Islam itu dari seluruh dunia.

“Saya percaya dengan tradisi ilmu dan khazanah Al-Azhar dan sumbangan besar kefahaman serta fikrah Islam yang dipelopori alumni Al-Azhar dari seluruh dunia dapat mempertahankan kubu pertahanan akidah dan mental umat Islam sejak berzaman dan seantero dunia.

“…maka kita manfaatkan kehadiran rakan dan kegiataan supaya luaskan dakwah kesedaran dan pencerahan kerana usaha dalam masyarakat madani penting dengan pengisian ilmu,” katanya.

Sebab itu Perdana Menteri berkata beliau menganjurkan majlis ilmu di Seri Perdana yang kebetulan tokoh yang hadir adalah dari al-Azhar, mufti atau ilmuwan yang majoritinya adalah lepasan pengajian dari al-Azhar.

Beliau berkata demikian dalam perutusan yang dilakukan menerusi rakaman video sempena sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2023 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur semalam.

Mohd Na’im bersama alumni al-Azhar dalam program sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 8 April 2023. Foto FB Dato Setia Mohd Na’im

Program anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG) Malaysia itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mohktar.

“Saya doakan perjumpaan ini menghasilkan natijah yang baik untuk mengangkat martabat umat melalui pencerdasan dan kecelikan kefahaman terhadap Islam,” kata Anwar.

Hari Al-Azhar As-Syarif telah diisytiharkan pada tanggal 7 Ramadan oleh Syeikhul Azhar. Peranan dan sumbangan institusi Al-Azhar kepada dunia yang telah diasaskan pada tahun 359 Hijrah bersamaan 970 Masihi di Kota Raya Al-Qahirah, Mesir.

Al-Azhar Al-Sharif merupakan sebuah institusi agama dan pendidikan Islam ternama yang ditubuhkan lebih 1,000 tahun yang lalu dan sentiasa konsisten dengan pendekatan wasatiyyah dalam menjelaskan kesucian dan keaslian agama yang menjadi asas ketamadunan ummah.

Ianya sekali gus menyebar dan mempertahankan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berlandaskan manhaj wasatiyyah yang menjadi panduan dan pegangan umat Islam dalam menghadapi cabaran dan arus pemikiran semasa.

Al-Azhar dengan tradisi keilmuan yang mantap dan manhajnya yang konsisten telah berjaya membariskan tokoh-tokoh ulama, ilmuwan serta pemimpin ummah yang telah terbukti diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di serata alam.

Dalam konteks Malaysia, Al-Azhar melalui universitinya telah melahirkan sejumlah besar alumni daripada kalangan anak watan Malaysia sejak akhir 1950-an.

Generasi graduan Al-Azhar telah memberi sumbangan yang amat signifikan khususnya dalam kemajuan Islam di malaysia melalui pelbagai sektor termasuk pendidikan, siasah, ekonomi, sosial, pentadbiran termasuk pengurusan hal ehwal Islam.

BACA JUGA: Pas dan takfiri adalah benar, bukan persepsi

Â